Khamis, 22 Disember 2011

KECELARUAN AGAMA


 ISLAM HARI INI

Amat mendukacitakan, apabila Islam pada hari ini cuba difahami dengan gaya falsafah orientalis Barat. Umumnya, falsafah Barat sentiasa berusaha menempatkan semua agama pada posisi dan fenomena yang sama. Bagi mereka proses perkembangan agama hanyalah hasil daripada evolusi. Ia bermula dengan dinamisme, animisme, politeisme atau henoteisme, lalu membentuk monoteisme, yang juga disebut oleh sesetengah pengkaji sebagai agama tauhid.

Menurut perspektif evolutif seperti ini, monoteisme tidak dinilai sebagai kebenaran akhir. Agama dianggap masih boleh menerima perubahan dan perkembangan. Ia sebenarnya bakal menuju kepada faham keagamaan yang tiada sempadan termasuk menerima ateisme. Walaupun ia tidak mungkin akan mudah diakui oleh para monoteis, namun kerangka pemikiran yang bersalut ateisme boleh dihidu terutama dalam membahaskan isu konflik antara agama.


Hakikatnya inilah kesimpulan logik daripada cara berfikir evolutif dalam keagamaan. Sedangkan Islam adalah agama tauhid. Ia bukan hasil evolusi pemikiran manusia. Ia suatu agama yang berasal daripada wahyu Allah SWT sejak Nabi Adam a.s. sehingga ke Nabi Muhammad SAW. Konsep agama tauhid adalah tetap dan tidak mengalami evolusi. Barat tentu sahaja tidak mengenal konsep wahyu dalam tradisi pemikirannya, sehingga mereka betah menempatkan agama sebagai sebahagian daripada gejala budaya yang sedang tumbuh di tengah masyarakat.

Golongan orientalis juga amat keliru ketika menyebutkan jenis agama monoteisme yang diistilahkan juga oleh mereka sebagai agama tauhid iaitu Islam, Yahudi, Kristian dan Hindu. Agama Islam, Yahudi dan Kristian menurut mereka adalah satu rumpun. Sedangkan agama Hindu pula bukan satu rumpun. Namun Islam dan Yahudi dianggap sebagai agama monoteis yang murni, manakala Kristian dianggap monoteis yang tidak lagi murni. Benarkah demikian?

Apa yang menjadi kekeliruan orientalis, mereka sangat menyederhanakan masalah dan mengabaikan soal dasar tentang perbezaan antara konsep ketuhanan dalam Islam dan agama-agama lain. Misalnya, konsep tuhan versi Yahudi jelas tidak sama dengan Islam. Ini memandangkan Yahudi memonopoli tuhan hanya untuk bangsanya sendiri. Bangsa lain tidak boleh menyembahnya. Bagi Kristian pula jelas bahawa agama itu berpegang kepada konsep trinity. Manakala Hindu pula suatu agama yang berkonsepkan politeisme kerana memuja banyak dewa.

Malah gelaran atau panggilan terhadap tuhan juga merupakan sesuatu yang amat asas di dalam setiap agama. Setiap agama sepatutnya mempunyai panggilan terhadap tuhan berlandaskan bahasa asal kitab suci masing-masing. Bagi Islam, nama dan panggilan bagi tuhan adalah 'Allah'. Ia sebagaimana termaktub di dalam al-Qur’an dan digunakan oleh semua penganut Islam tanpa mengira bangsa dan bahasa pertuturan. Ia tidak sekali-kali diterjemahkan. Tiada kompromi untuk mengubah nama 'Allah' kepada nama lain selain daripada apa yang dinaskan melalui al-Qur’an dan al-Sunnah.

Umat Islam juga berkeyakinan begitu terhadap agama-agama lain. Oleh itu, apabila pihak akhbar ‘Herald Catholic Weekly’ ingin menggunakan kalimah ‘Allah’, ia sesuatu yang agak membingungkan umat Islam. Tambahan pula pada bulan Ogos 2007 yang lalu, seorang paderi Roman Katolik di Belanda, Tiny Muskens, juga telah membuat seruan yang sama terhadap penganut agama Kristian. Bagaimanapun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian sama ada Protestan mahupun Katolik sendiri. Presiden Liga Katolik Bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan tersebut di dalam kenyataannya, ”Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to “Allah” all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It is not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion”. Manakala Pengerusi General Synod of the Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens supaya penganut Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’, beliau berkata, "I applaud every attempt to encourage dialogue with Muslims, but I doubt the sense of this maneuver".

Kenyataan-kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi agama Kristian masih menjadi suatu polemik di kalangan agamawan Kristian. Syor tersebut dianggap terlalu liberal oleh sesetengah paderi Kristian sendiri. Dalam satu temuramah, Muskens pernah menyebut, “What does God care what we call him?” Kenyataan ini disanggah oleh Father Jonathan Morris, tokoh Roman Katolik di Itali, ”Words and names mean things”. Lebih meragukan, paderi Muskens dikhuatiri telah dipengaruhi dengan aliran liberal yang rancak berlaku di Indonesia berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjadi paderi di sana selama lapan tahun.

Fenomena di atas, hanyalah sebahagian kecil daripada kecelaruan yang berlaku di dalam menentukan identiti setiap agama. Terutamanya agama-agama yang dianggap sebagai monoteisme. Monoteisme menjadi pluralisme agama Ketika Barat tercari-cari pengertian sebenar monoteisme, mereka seakan menemui penawarnya apabila gagasan pluralisme agama berjaya menyusup ke dalam pemikiran Islam. Antara lain melalui karya-karya pemikir mistik muslim Barat seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya) dan Frithjof Schuon (Isa Nuruddin Ahmad). Karya-karya mereka ini, khususnya Schuon dengan bukunya The Transcendent Unity of Religions sangat sarat dengan pemikiran-pemikiran atau gagasan-gagasan yang menjadi inspirasi dasar bagi tumbuh kembangnya wacana pluralisme agama.

Barangkali Sayid Hussein Nasr, seorang tokoh Muslim Syiah moderat, adalah tokoh yang paling bertanggungjawab dalam mempopularkan gagasan pluralisme agama di kalangan Islam tradisional. Suatu prestasi yang kemudian memartabatkannya ke tahap tokoh pemikir agama terkemuka sebaris dengan nama-nama besar seperti Ninian Smart, John Hick dan Annemarie Schimme.

Nasr dilihat memuatkan dalam tesisnya tentang pluralisme agama rumusan terhadap konsep ‘falsafah abadi’. Iaitu sebuah wacana menghidupkan kembali kesatuan metafizik (metaphysical unity) yang tersembunyi di sebalik ajaran dan tradisi-tradisi keagamaan yang pernah diamal oleh manusia semenjak Nabi Adam a.s. Menurut Nasr, memeluk atau meyakini satu agama dan melaksanakan ajarannya secara keseluruhan dan bersungguh-sungguh, bererti juga memeluk agama-agama lain. Ini kerana semuanya berpaksi kepada yang satu, iaitu kebenaran hakiki yang abadi. Perbezaan antara agama dan keyakinan menurut Nasr, hanyalah pada simbol-simbol dan kulit luar. Inti daripada setiap agama tetap satu.

Pendekatan Nasr ini tidak jauh berbeza dengan apa yang ada pada sesetengah pemikir Barat yang terlibat dalam dialog-dialog peradaban bagi merapatkan jurang antara Islam dan Barat. Suatu hal yang membuatkan kita tertanya-tanya, apakah konsep ‘falsafah abadi’ ini mempunyai justifikasi yang solid dalam tradisi pemikiran Islam yang didakwa sebagai fundamental daripada akar pemikirannya?

Sekiranya kita mengimbau kembali prinsip ‘falsafah abadi’ yang dicanang oleh Nasr, orang yang pertama kali menggunakan frasa ini sebagaimana yang disebut oleh Aldous Huxley dalam bukunya The Perennial Philosophy ialah Leibniz. Daripada karya Huxley itulah istilah ‘falsafah abadi’ menjadi terkenal di Barat. Huxley menjelaskan bahawa prinsip-prinsip dasar ‘falsafah abadi’ boleh ditemui bertaburan dalam legenda dan metos kuno yang berkembang dalam masyarakat primitif di seluruh penjuru dunia. Suatu versi dari ‘kesamaan tertinggi’ dalam teologi-teologi dahulu dan kini. Pertama kali ditulis lebih dari dua puluh lima abad yang lalu, dan sejak itu tema yang tidak pernah tuntas ini dibahas terus-menerus, daripada persepsi setiap tradisi agama dan dalam semua kajian utama di Asia dan Eropah.

Antara tokoh awal ‘falsafah abadi’ yang terkenal ialah Rene Guenon (1886- 1951). Guenon telah menghidupkan kembali nilai-nilai hikmah dan kebenaran abadi yang ada pada tradisi dan agama. Guenon menyebutnya sebagai ‘tradisi purba’ (primordial tradition). Guenon yang pada awalnya Katolik, selanjutnya memeluk Islam pada tahun 1912 (nama Islamnya Abdul Wahid Yahya). Selama kehidupannya di Perancis, Guenon langsung tidak diketahui bahawa telah mempraktikkan kehidupan ritual Islam. Guenon berpendapat bahawa ilmu yang utama sebenarnya adalah ilmu tentang spiritual. Ilmu yang lain harus dicapai juga, namun ia hanya akan bermakna dan bermanfaat jika dikaitkan dengan ilmu spiritual.

Menurut Guenon, hakikat (zat) dari ilmu spiritual adalah bersumber dari supernatural dan transcendent . Ilmu tersebut adalah universal. Oleh sebab itu, ilmu tersebut tidak dibatasi oleh suatu kelompok agama tertentu. Ia adalah milik bersama semua ‘tradisi purba’. Perbezaan teknik yang terjadi merupakan jalan dan cara yang berbeza untuk merealisasikan kebenaran. Perbezaan tersebut adalah sesuatu yang logik dan diterima akal kerana setiap agama memiliki sumbangannya yang unik untuk memahami ‘realiti akhir’. Pengalaman spiritual Rene Guenon dalam gerakan teosofi mendorongnya untuk menyimpulkan bahawa semua agama memiliki kebenaran dan bersatu pada tingkat kebenaran.

Pemikiran Guenon kemudiannya diteruskan oleh Frithjof Schuon (1907-1998). Sejak berusia 16 tahun, dia telah membaca karya Guenon, Orient et Occident. Kagum dengan pemikiran Guenon, Schuon saling berkirim surat dengan Guenon selama 20 tahun. Setelah berhubung sekian lama, akhirnya Schuon bertemu dengan Guenon di Mesir pada tahun 1938. Schuon memeluk Islam dan dikenal sebagai Isa Nuruddin Ahmad al-Syazili al-Darquwi al-Alawi al-Maryami. Dia boleh dikatakan sebagai seorang tokoh terkemuka dalam ‘falsafah abadi’. Dia mengungkap Satu-satunya Realiti Akhir, Yang Mutlak, Yang Tidak Terbatas dan Maha Sempurna. Dia menyeru supaya manusia dekat kepada-Nya.

Manakala tokoh pemikir masakini yang terpengaruh dengan ‘falsafah abadi’ adalah aktivis Islam liberal Indonesia terkenal, Prof. Dr. Nurcholis Majid. Di dalam tulisannya beliau mengatakan bahawa setiap agama merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan daripada pelbagai agama. ‘Falsafah abadi’ juga membahagi agama pada tingkat esoterik (batin) dan eksoterik (lahir). Satu agama berbeza dengan agama lain pada tingkat eksoterik, tetapi relatif yang sama pada tingkat esoteriknya. Oleh kerana itu ada istilah ‘satu tuhan banyak jalan.

Sebagai muslim, kita memahami dan meyakini, bahwa manusia pertama, Nabi Adam a.s. adalah manusia yang bertauhid. Agama tauhid itulah yang terusmenerus dibawa oleh para Nabi dan diajarkan kepada umat manusia, sampai yang terakhir, Nabi Muhammad SAW. Jadi, tauhid itulah kebenaran yang abadi, dan bukan ‘falsafah abadi’ yang tidak jelas asal-usulnya. Islam adalah agama yang sumber dan ajarannya jelas. Kita tidak memerlukan gagasan ‘falsafah abadi’ yang menurut para pendokongnya berasal dari Zaman Kapak (Axial Age). Gagasan ‘falsafah abadi’ atau jenama lainnya seperti Etika Global, Teologi Global atau lain-lain hanya bakal berkesudahan dengan fahaman kesetaraan agama atau kesatuan agama (Wahdat al-Adyan). Gagasan ini bukan sahaja semakin jauh daripada Islam, tetapi juga daripada cita-cita yang dituju. Oleh itu, gagasan ini hanya mengundang masalah yang lebih besar berbanding menjadi penyelesaian kepada hubungan antara agama.

Di samping itu, gagasan ini amat merbahaya jika diterapkan ke dalam negara ini. Malaysia adalah sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama persekutuan. Islam pula hendaklah berasaskan aqidah, syariah dan akhlak Ahli al-Sunnah Wal-Jamaah. ‘Falsafah abadi’ tidak menjanjikan apa-apa dalam mengekalkan prinsip Islam tersebut. Ia hanyalah sebuah falsafah ketuhanan yang dibahas bukan berasaskan disiplin ilmu-ilmu Islam yang telah baku sebaliknya ditunjangi oleh kerangka atau worldview Barat.

Kita memang perlu belajar berbagai hal seperti sains dan teknologi daripada peradaban lain, tetapi kita tidak perlu belajar tentang hal ketuhanan, kebenaran dan kemanusiaan daripada mereka. Ini kerana ajaran Islam tentang semua ini sudah teramat jelas. Sebagai muslim, kita meyakini, bahwa Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah membawa misi rahmatan lil alamin. Bukan ajaran Ammonius, Blavatsky, Guenon, Schuon, Armstrong malah sesiapa sahaja.

Rabu, 9 November 2011

Dahsyatnya tenaga doa

سم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

Doa merupakan kekuatan dan tenaga yang tiada taranya kerana ia berhubung dengan Zat Yang Maha Kuasa. Doa bagi seorang mukmin adalah senjata (wasilah) kerana tidak ada perlindungan dan daya kecuali dari ALLAH SWT. Doa adalah ibadah. Doa adalah senjata. Doa adalah benteng. Doa adalah ubat. Doa adalah pintu segala kebaikan.

Dari Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda:
“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.

Kekuatan atau kedahsyatan doa bagi seorang muslim tidak dapat dinafikan lagi. Doa adalah senjata buat kaum muslimin, Ad Du‟au Silahul Mu‟min. Di saat canggihnya pelbagai mesin dan persenjataan abad moden ini, strategi dan kaedah peperangan, kekuatan dan kedahsyatan doa tetap tidak dinafikan dan hanya dimiliki oleh orang-orang beriman. Hal ini disebabkan orang-orang yang beriman selain daripada berusaha semaksima mungkin dalam setiap amal yang dilakukannya, dia juga tidak pernah lupa menggantungkan seluruh usahanya melalui doa kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala. Doa adalah senjata buat orang-orang mukmin, yang telah ditauladankan dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, salafus sholeh.

Doa itu mampu mengubah yang tidak mungkin menjadi mungkin, yang biasa-biasa menjadi tidak terkata, yang berat jadi ringan, yang jauh menjadi dekat. Itulah dahsyatnya kekuatan doa. Dengan doa segalanya menjadi mungkin atas izin ALLAH Subhanahu Wa Taala.

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. (Surah 36 : Yaasin : 82)

Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: “Kun (jadilah)”, maka jadilah ia. (Surah 16 : An Nahl : 40)

Kesilapan Berdoa :
1. Orang yang tidak pernah berdoa dikala susah dan senang
Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. (Surah 40 : Al Mukmin : 60)

2. Orang yang berdoa ketika sedang menghadapi kesulitan, walaupaun dia terlepas dari kesulitan yang dialami dirinya mereka seolah-olah lupa pernah berdoa kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk melepaskan diri mereka daripada kesulitan tersebut.
Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. (Surah 10 : Yunus : 12)

3. Orang yang berdoa bergantung kepada suasana hatinya

4. Orang yang pernah berdoa tetapi menghentikan doanya kerana berputus asa (doanya tidak dikabul)
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahwasanya Nabi Shollallahu Alaihi Wa Sallam bersabda : Do’a seorang hamba akan selalu dikabulkan selagi tidak memohon sesuatu yang berdosa atau pemutusan kerabat, atau tidak tergesa-gesa. Mereka bertanya : Apa yang dimaksud tergesa-gesa? Beliau menjawab : ” Dia berkata ; Saya berdoa berkali-kali tidak dikabulkan, lalu dia merasa menyesal kemudian meninggalkan doa”. (H.R. Muslim).

5. Orang yang selalu berdoa dikala susah mahupun senang dan tidak pernah putus asa dari rahmat ALLAH Subhanahu Wa Taala.
Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. (Surah 35 : Faathir : 15)

Fakta Seputar Doa
-Doa adalah ekspresi kerendahan hati seorang hamba di hadapan ALLAH Subhanahu Wa Taala.
-Doa adalah ekspresi kedekatan seorang hamba dengan ALLAH Subhanahu Wa Taala.
-Doa adalah ubat kecemasan.
-Doa adalah salah satu sumber kesihatan fizikal dan mental.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu‟, dari nafsu yang tidak pernah puas/cukup, dan dari doa yang tidak dikabulkan.” (H.R. Muslim, Ahmad, dan An-Nasa`i, dari shahabat Zaid bin Arqam radhiyallahu anhu)

“وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم”

RUJUKAN
http://almukminun.blogspot.com/2010/07/dahsyatnya-tenaga-doa.html

MINYAK TANAH HILANGKAN KUTU



Satu lagi petua mudah untuk menghilangkan kutu kepala ialah dengan melumurkan sedikit minyak tanah di serata kepala. Kemudian balut kepala dengan kain lembab. Biarkan selama dua atau tiga jam. Anda akan lihat kemudiannya kutu-kutu melekat pada tuala itu dan kepala anda bebas daripadanya.

TUMIT KAKI TIDAK PECAH



Bagi anda yang menghadapi masalah ini, boleh mencuba petua ini. Ambil sebiji buah betik yang masih muda. Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan getah. Sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah. Lakukan berulang kali beberapa hari jika ingin mendapat hasil yang memuaskan.

MENURUNKAN BERAT BADAN




Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda.
 

Caranya

sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air mnuman setiap kali selepas anda makan tengah hari dan makan malam.
Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkan meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.

MAHASISWA & PENGORBANAN


Zulhijjah merupakan bulan terakhir pada kalendar Islam di samping salah satu daripada empat bulan haram yang mana bulan haram adalah bulan yang mulia lagi dihormati di dalam Islam. kelebihan bulan-bulan mulia ini disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa."

Selain itu, bila sebut bulan Zulhijjah, perihal korban tidak akan dilupakan oleh segenap umat Islam di muka bumi ini. Sesungguhnya kedatangan bulan Zulhijjah ini amatlah dinantikan kerana ia secara langsung akan mengingatkan kita dengan Hari Raya Qurban atau juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha. Di samping itu, hari raya ini juga dinamakan sebagai Hari Nahar iaitu yang membawa pengertian penyembelihan. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan juga mengenai kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah-Nya.   

Hari Raya Korban yang diraikan pada 10 Zulhijjah ini adalah tarikh penting di dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa kembali di padang Arafah.

Kisah pengorbanan yang telah dinukilkan oleh Allah swt melalui pelbagai kisah bermula dari Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan seterusnya pada zaman Nabi Muhammad saw juga telah banyak memberi makna yang tersendiri mengenai hakikat sebuah pengorbanan itu. Yang pasti, segala kisah yang dinukilkan ini mempunyai kesan dan pengajarannya yang tersendiri. Sikap ikhlas, patuh dan taat kepada perintah Allah swt terhadap segala suruhan-Nya serta sanggup berkorban walau dalam apa jua perkara dan harta benda yang paling disayangi merupakan antara pengajaran yang patut dihayati bersama.

Namun begitu, hakikat erti sebuah pengorbanan yang diungkapkan sempena datangnya bulan Zulhijjah ini sering kali dilupakan oleh segelintir mahasiswa kita pada hari ini di mana mahasiswa kita sudah hilang semangat untuk sedia berkorban itu. Segelintir mahasiswa pada hari ini gagal menghayati konsep dan semangat untuk berkorban. Secara tidak langsung, kegagalan ini telah menyebabkan mahasiswa kita berada satu langkah ke belakang berbanding mahasiswa negara lain.

Apa yang dimaksudkan sebagai mahasiswa kita gagal menghayati konsep pengorbanan ini? Bukan kerana mahasiswa kita tidak belajar bersungguh-sungguh, tetapi konsep pengorbanan itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh lagi. Mahasiswa kita pada hari ini kebanyakkannya gagal memahami konsep pengorbanan yang melibatkan pengorbanan masa, tenaga dan juga komitmen dalam perjuangan mereka sepanjang bergelar mahasiswa di alam kampus.

Keselesaan yang telah dirasai sedikit sebanyak telah membawa mahasiswa leka membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan, lalai dengan hiburan serta keselesaan yang telah dikecapi itu. Mereka juga kurang membaca bacaan luar yang tiada kaitan dengan pelajaran, tidak idealistik serta tiada identiti kerana kurang minat, tiada semangat dan wawasan untuk berkorban ke arah menjadi mahasiswa yang berdaya saing.

Tidak dinafikan masih ramai mahasiswa yang cemerlang di dalam bidang pengajian masing-masing, namun sejauh manakah mahasiswa dapat membantu masyarakat yang berada di sekeliling mereka? Ada kalanya masyarakat sekeliling pun tidak pernah mengenali mereka kerana tidak pernah bergaul dengan masyarakat tersebut. Inilah yang menyebabkan sejak kebelakangan ini mahasiswa didapati hilang jati diri dan gagal menjadi ikon serta contoh yang terbaik di dalam kelompok masyarakat mereka sendiri.

Mahasiswa perlu menanamkan sifat pengorbanan di dalam diri mereka kerana segala kemudahan dan kesenangan yang mereka kecapi di kampus pada hari ini bukanlah suatu yang percuma yang tiada sebarang bayaran mahupun tuntutan. Mereka perlu sedar bahawa semua itu adalah hasil daripada titik peluh yang berpunca daripada pendapatan rakyat. Secara tidak langsung, pendidikan yang diterima di kampus juga merupakan pembiayaan yang datang dari wang rakyat.

Mahasiswa juga perlu sedar dan percaya bahawa apa yang mereka terima dan peroleh pada hari ini yang membolehkan mereka bergelar seorang mahasiswa yang dipandang tinggi di dalam masyarakat bukan berpunca dari hasil usaha mereka sahaja. Namun begitu, mereka perlu sedar bahawa banyak pihak lagi yang terlibat yang menjadi ikatan kepada kejayaan tersebut kerana setiap perkara itu mempunyai fungsi yang tersendiri untuk mencapai titik keseimbangan.

Selasa, 8 November 2011

Kebebasan Yang Bukan HAKIKI


Bila berbicara tentang kebebasan, ramai yang terlintas dan terfikir difikiran bahawa kebebasan adalah sesuatu yang lazimnya bercanggah dengan apa yang sepatutnya. Kalam terpanggil untuk berbicara tentang isu “kebebasan” yang banyak diperkatakan sejak beberapa hari ini mengenai tindakan beberapa badan NGO yang memperjuangkan Seksualiti Merdeka yang turut mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).  Sebelum Kalam mengulas dengan lebih lanjut mengikut pandangan dan pendirian Kalam, eloklah sekiranya Kalam sertakan satu keratan akbar yang diambil dari utusanonline.com bertarikh 1 November 2011 menceritakan tentang kejadian itu.

“NGO sifatkan perjuangan Seksualiti Merdeka jijik

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Jijik dan keji. Itulah gambaran yang diberikan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan penganjuran Seksualiti Merdeka yang bermula hari ini.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, program tersebut langsung tidak membawa faedah malah hanya menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat.
"Kita minta mereka senaraikan apa faedah yang ada dalam program ini dan mengapa tidak pernah bercadang untuk melaksanakan program yang mampu mengukuhkan hubungan antara kaum di Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penganjuran program Seksualiti Merdeka anjuran beberapa gabungan NGO yang turut mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Program yang kononnya mahu membela hak rakyat Malaysia agar tidak didiskriminasi atau diganggu hanya kerana orientasi seksual mereka itu, antara lain diisi dengan bengkel, pemutaran filem dan hal-hal yang berkaitan seksualiti.
Tambah Jurit, program itu secara tidak langsung adalah bukti pihak-pihak tertentu yang mahu meragut kesucian agama Islam dengan terancang.
"Kami mahu mengingatkan penganjur agar jangan mencabar orang Islam di Malaysia dan hormat Perlembagaan jika mereka tidak mahu sebarang kemungkinan berlaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Norsaleha Mohd. Salleh menyeru masyarakat yang berbilang agama dan etnik untuk beramai-ramai menolak budaya songsang yang tidak bertamadun itu.
"Budaya songsang ini tidak pernah menjadi ajaran mana-mana agama jadi jangan kita menunggu laknat Allah turun kepada seluruh penduduk Malaysia barulah kita membuka mata dan sedia untuk mengkaji semula lesen yang diberikan," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan penganjuran program berkenaan bersifat kurang ajar.
"Mereka tidak hormat dengan langit yang dijunjung dan bumi yang dipijak. Biarpun mereka buat atas dasar hak asasi tetapi hak berkenaan ada batasnya," katanya.
Tambahnya, penganjur nyata tidak sensitif dengan masyarakat negara ini yang majoritinya merupakan umat Islam.
"Islam mengharamkan kegiatan homoseksual dan itu merupakan perbuatan yang jijik," ujarnya.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula menyeru semua pihak agar menentang sekeras-kerasnya agenda yang dibawa Seksualiti Merdeka.
Tambahnya, perkara itu jelas bertentangan dengan tabie manusia dan menjatuhkan moral masyarakat.
"Kita tidak perlu menjadi seperti bangsa lain yang menghalalkan hubungan sejenis dan menjadi masyarakat yang rendah moralnya," katanya.
Menurutnya, semua badan agama perlu memainkan peranan agar perkara itu dapat dibendung.
"Islam sendiri mengharamkan perbuatan berkenaan dan saya percaya agama lain juga sama. Jadi generasi muda terutamanya, perlu melengkapkan jati diri dan berpegang teguh pada landasan agama," jelasnya.”

Berdasarkan kepada petikan di atas, apa sebenarnya erti kebebasan? Kebebasan menurut www.wikipedia.org adalah secara amnya difahami sebagai satu istilah yang menekankan kebolehan seseorang individu untuk bertindak mengikut kehendaknya sendiri.

Seseorang yang berpegang kepada fahaman individualisme dan liberalisme menerima kebebasan sebagai ketiadaan paksaan atau ugutan luar. Sosialisme pula memahami kebebasan sebagai pembahagian kuasa yang samarata di dalam masyarakat dengan mengatakan bahawa kebebasan tanpa kesamarataan adalah serupa dengan penjajahan oleh mereka yang berkuasa.

Namun begitu, sejauh manakah kebebasan yang ingin dicapai dan diinginkan oleh individu tertentu dapat dicapai dan dipenuhi dengan tenang sekiranya melanggar fitrah hidup manusia? Sesungguhnya, negara kita gempar lagi dengan satu program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya "Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery. Walaupun program ini kononnya berteraskan perjuangan "Human Right", menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, mereka tidak lagi teragak - agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka.

Malaysia merupakan negara yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang - pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri,  supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar Ruum: ayat 21)

Kenapa semua itu dilarang? Jelaslah bahawa, asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamadun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya terutamanya di negara kita yang dikenali sebagai sebuah negara Islam. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamadunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Sabda Rasulullah saw:

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

“Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak.” (Riwayat Imam Ahmad)..

Justeru itu, dapatlah difahami bahawa perbuatan untuk menuntut kebebasan yang menyalahi syariat adalah amat ditentang walaupun ianya tidak bersalahan dengan kehendak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesungguhnya, sudah jelas di dalam agama Islam bahawa matlamat yang salah tidak akan boleh menghalalkan cara yang digunakan.

Umat Islam di Malaysia khususnya mestilah sentiasa mengambil berat dengan keadaan semasa yang berlaku di negara kita agar negara kita yang kita sayangi ini tidak sesekali terlibat dengan anasir yang boleh menyebabkan turunnya bala sepertimana yang telah diingatkan oleh Allah swt di dalam peristiwa kaum Nabi Luth a.s seperti firmanNya di dalam surah an-Naml ayat 54-55 yang bermaksud:

54. dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji sedang kamu nampak kejinya? 55. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum Yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)".

Selain itu, Allah swt berfirman lagi di dalam surah al-Hijr ayat 71-74 yang bermaksud:

71. Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). 72. Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. 73. akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. 74. maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.

Nabi Muhammad juga pernah bersabda, maksudnya: “Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth.” (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim).

Berdasarkan perincian penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa, kita sebagai umat Islam haruslah sama-sama membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran sekiranya kita tahu dan sedar akan kemungkaran yang berlaku dan wujud di sekeliling kita kerana itu adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Semoga kebaikan dan niat kita untuk menghalang aktiviti yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam ini sedikit sebanyak dapat dijadikan perantaraan untuk memohon perlindungan dari Allah swt buat semua umat Islam khususnya dari bala Allah swt. Nauzubillah.