Selasa, 8 November 2011

Kebebasan Yang Bukan HAKIKI


Bila berbicara tentang kebebasan, ramai yang terlintas dan terfikir difikiran bahawa kebebasan adalah sesuatu yang lazimnya bercanggah dengan apa yang sepatutnya. Kalam terpanggil untuk berbicara tentang isu “kebebasan” yang banyak diperkatakan sejak beberapa hari ini mengenai tindakan beberapa badan NGO yang memperjuangkan Seksualiti Merdeka yang turut mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).  Sebelum Kalam mengulas dengan lebih lanjut mengikut pandangan dan pendirian Kalam, eloklah sekiranya Kalam sertakan satu keratan akbar yang diambil dari utusanonline.com bertarikh 1 November 2011 menceritakan tentang kejadian itu.

“NGO sifatkan perjuangan Seksualiti Merdeka jijik

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Jijik dan keji. Itulah gambaran yang diberikan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan penganjuran Seksualiti Merdeka yang bermula hari ini.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, program tersebut langsung tidak membawa faedah malah hanya menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat.
"Kita minta mereka senaraikan apa faedah yang ada dalam program ini dan mengapa tidak pernah bercadang untuk melaksanakan program yang mampu mengukuhkan hubungan antara kaum di Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penganjuran program Seksualiti Merdeka anjuran beberapa gabungan NGO yang turut mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Program yang kononnya mahu membela hak rakyat Malaysia agar tidak didiskriminasi atau diganggu hanya kerana orientasi seksual mereka itu, antara lain diisi dengan bengkel, pemutaran filem dan hal-hal yang berkaitan seksualiti.
Tambah Jurit, program itu secara tidak langsung adalah bukti pihak-pihak tertentu yang mahu meragut kesucian agama Islam dengan terancang.
"Kami mahu mengingatkan penganjur agar jangan mencabar orang Islam di Malaysia dan hormat Perlembagaan jika mereka tidak mahu sebarang kemungkinan berlaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Norsaleha Mohd. Salleh menyeru masyarakat yang berbilang agama dan etnik untuk beramai-ramai menolak budaya songsang yang tidak bertamadun itu.
"Budaya songsang ini tidak pernah menjadi ajaran mana-mana agama jadi jangan kita menunggu laknat Allah turun kepada seluruh penduduk Malaysia barulah kita membuka mata dan sedia untuk mengkaji semula lesen yang diberikan," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan penganjuran program berkenaan bersifat kurang ajar.
"Mereka tidak hormat dengan langit yang dijunjung dan bumi yang dipijak. Biarpun mereka buat atas dasar hak asasi tetapi hak berkenaan ada batasnya," katanya.
Tambahnya, penganjur nyata tidak sensitif dengan masyarakat negara ini yang majoritinya merupakan umat Islam.
"Islam mengharamkan kegiatan homoseksual dan itu merupakan perbuatan yang jijik," ujarnya.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula menyeru semua pihak agar menentang sekeras-kerasnya agenda yang dibawa Seksualiti Merdeka.
Tambahnya, perkara itu jelas bertentangan dengan tabie manusia dan menjatuhkan moral masyarakat.
"Kita tidak perlu menjadi seperti bangsa lain yang menghalalkan hubungan sejenis dan menjadi masyarakat yang rendah moralnya," katanya.
Menurutnya, semua badan agama perlu memainkan peranan agar perkara itu dapat dibendung.
"Islam sendiri mengharamkan perbuatan berkenaan dan saya percaya agama lain juga sama. Jadi generasi muda terutamanya, perlu melengkapkan jati diri dan berpegang teguh pada landasan agama," jelasnya.”

Berdasarkan kepada petikan di atas, apa sebenarnya erti kebebasan? Kebebasan menurut www.wikipedia.org adalah secara amnya difahami sebagai satu istilah yang menekankan kebolehan seseorang individu untuk bertindak mengikut kehendaknya sendiri.

Seseorang yang berpegang kepada fahaman individualisme dan liberalisme menerima kebebasan sebagai ketiadaan paksaan atau ugutan luar. Sosialisme pula memahami kebebasan sebagai pembahagian kuasa yang samarata di dalam masyarakat dengan mengatakan bahawa kebebasan tanpa kesamarataan adalah serupa dengan penjajahan oleh mereka yang berkuasa.

Namun begitu, sejauh manakah kebebasan yang ingin dicapai dan diinginkan oleh individu tertentu dapat dicapai dan dipenuhi dengan tenang sekiranya melanggar fitrah hidup manusia? Sesungguhnya, negara kita gempar lagi dengan satu program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya "Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery. Walaupun program ini kononnya berteraskan perjuangan "Human Right", menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, mereka tidak lagi teragak - agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka.

Malaysia merupakan negara yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang - pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri,  supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar Ruum: ayat 21)

Kenapa semua itu dilarang? Jelaslah bahawa, asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamadun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya terutamanya di negara kita yang dikenali sebagai sebuah negara Islam. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamadunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Sabda Rasulullah saw:

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

“Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak.” (Riwayat Imam Ahmad)..

Justeru itu, dapatlah difahami bahawa perbuatan untuk menuntut kebebasan yang menyalahi syariat adalah amat ditentang walaupun ianya tidak bersalahan dengan kehendak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesungguhnya, sudah jelas di dalam agama Islam bahawa matlamat yang salah tidak akan boleh menghalalkan cara yang digunakan.

Umat Islam di Malaysia khususnya mestilah sentiasa mengambil berat dengan keadaan semasa yang berlaku di negara kita agar negara kita yang kita sayangi ini tidak sesekali terlibat dengan anasir yang boleh menyebabkan turunnya bala sepertimana yang telah diingatkan oleh Allah swt di dalam peristiwa kaum Nabi Luth a.s seperti firmanNya di dalam surah an-Naml ayat 54-55 yang bermaksud:

54. dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji sedang kamu nampak kejinya? 55. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum Yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)".

Selain itu, Allah swt berfirman lagi di dalam surah al-Hijr ayat 71-74 yang bermaksud:

71. Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). 72. Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. 73. akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. 74. maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.

Nabi Muhammad juga pernah bersabda, maksudnya: “Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth.” (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim).

Berdasarkan perincian penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa, kita sebagai umat Islam haruslah sama-sama membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran sekiranya kita tahu dan sedar akan kemungkaran yang berlaku dan wujud di sekeliling kita kerana itu adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Semoga kebaikan dan niat kita untuk menghalang aktiviti yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam ini sedikit sebanyak dapat dijadikan perantaraan untuk memohon perlindungan dari Allah swt buat semua umat Islam khususnya dari bala Allah swt. Nauzubillah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan