Rabu, 9 November 2011

MAHASISWA & PENGORBANAN


Zulhijjah merupakan bulan terakhir pada kalendar Islam di samping salah satu daripada empat bulan haram yang mana bulan haram adalah bulan yang mulia lagi dihormati di dalam Islam. kelebihan bulan-bulan mulia ini disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa."

Selain itu, bila sebut bulan Zulhijjah, perihal korban tidak akan dilupakan oleh segenap umat Islam di muka bumi ini. Sesungguhnya kedatangan bulan Zulhijjah ini amatlah dinantikan kerana ia secara langsung akan mengingatkan kita dengan Hari Raya Qurban atau juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha. Di samping itu, hari raya ini juga dinamakan sebagai Hari Nahar iaitu yang membawa pengertian penyembelihan. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan juga mengenai kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah-Nya.   

Hari Raya Korban yang diraikan pada 10 Zulhijjah ini adalah tarikh penting di dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa kembali di padang Arafah.

Kisah pengorbanan yang telah dinukilkan oleh Allah swt melalui pelbagai kisah bermula dari Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan seterusnya pada zaman Nabi Muhammad saw juga telah banyak memberi makna yang tersendiri mengenai hakikat sebuah pengorbanan itu. Yang pasti, segala kisah yang dinukilkan ini mempunyai kesan dan pengajarannya yang tersendiri. Sikap ikhlas, patuh dan taat kepada perintah Allah swt terhadap segala suruhan-Nya serta sanggup berkorban walau dalam apa jua perkara dan harta benda yang paling disayangi merupakan antara pengajaran yang patut dihayati bersama.

Namun begitu, hakikat erti sebuah pengorbanan yang diungkapkan sempena datangnya bulan Zulhijjah ini sering kali dilupakan oleh segelintir mahasiswa kita pada hari ini di mana mahasiswa kita sudah hilang semangat untuk sedia berkorban itu. Segelintir mahasiswa pada hari ini gagal menghayati konsep dan semangat untuk berkorban. Secara tidak langsung, kegagalan ini telah menyebabkan mahasiswa kita berada satu langkah ke belakang berbanding mahasiswa negara lain.

Apa yang dimaksudkan sebagai mahasiswa kita gagal menghayati konsep pengorbanan ini? Bukan kerana mahasiswa kita tidak belajar bersungguh-sungguh, tetapi konsep pengorbanan itu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh lagi. Mahasiswa kita pada hari ini kebanyakkannya gagal memahami konsep pengorbanan yang melibatkan pengorbanan masa, tenaga dan juga komitmen dalam perjuangan mereka sepanjang bergelar mahasiswa di alam kampus.

Keselesaan yang telah dirasai sedikit sebanyak telah membawa mahasiswa leka membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan, lalai dengan hiburan serta keselesaan yang telah dikecapi itu. Mereka juga kurang membaca bacaan luar yang tiada kaitan dengan pelajaran, tidak idealistik serta tiada identiti kerana kurang minat, tiada semangat dan wawasan untuk berkorban ke arah menjadi mahasiswa yang berdaya saing.

Tidak dinafikan masih ramai mahasiswa yang cemerlang di dalam bidang pengajian masing-masing, namun sejauh manakah mahasiswa dapat membantu masyarakat yang berada di sekeliling mereka? Ada kalanya masyarakat sekeliling pun tidak pernah mengenali mereka kerana tidak pernah bergaul dengan masyarakat tersebut. Inilah yang menyebabkan sejak kebelakangan ini mahasiswa didapati hilang jati diri dan gagal menjadi ikon serta contoh yang terbaik di dalam kelompok masyarakat mereka sendiri.

Mahasiswa perlu menanamkan sifat pengorbanan di dalam diri mereka kerana segala kemudahan dan kesenangan yang mereka kecapi di kampus pada hari ini bukanlah suatu yang percuma yang tiada sebarang bayaran mahupun tuntutan. Mereka perlu sedar bahawa semua itu adalah hasil daripada titik peluh yang berpunca daripada pendapatan rakyat. Secara tidak langsung, pendidikan yang diterima di kampus juga merupakan pembiayaan yang datang dari wang rakyat.

Mahasiswa juga perlu sedar dan percaya bahawa apa yang mereka terima dan peroleh pada hari ini yang membolehkan mereka bergelar seorang mahasiswa yang dipandang tinggi di dalam masyarakat bukan berpunca dari hasil usaha mereka sahaja. Namun begitu, mereka perlu sedar bahawa banyak pihak lagi yang terlibat yang menjadi ikatan kepada kejayaan tersebut kerana setiap perkara itu mempunyai fungsi yang tersendiri untuk mencapai titik keseimbangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan